ad1

Zoo Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla | Ahad, 25 Ogos 2024]

Zoo Songkhla menjadi destinasi pertama konvoi kami di wilayah Songkhla. Lucunya, masing-masing tak tahu akan ke zoo πŸ˜‚. Rata-rata ahli konvoi belum pernah ke wilayah Songkhla, jadi kami ikut saja kenderaan paling hadapan selaku tour guide tanpa bertanya arah tujuan.

Zoo Songkhla terletak di kawasan bukit, perjalanan agak berliku dan mendaki. Di sudut tertentu, saya dapat menyaksikan panorama indah lautan terbentang di bawah. Selepas itu baru saya tahu, lautan tersebut sebenarnya Tasik Songkhla.

Zoo Songkhla, Thailand
Bayaran masuk Zoo Songkhla.
Harganya boleh tahan ya untuk pelancong asing πŸ˜…. Tapi sebab dah sampai depan pintu masuk zoo, maka kita teruskan jugalah.

Anggaran bayaran dalam tukaran semasa duit Malaysia - RM44 / bayaran masuk dewasa dan RM6 / bayaran bawa masuk kereta. Kalau tak nak bawa masuk kereta, boleh naik tram dengan bayaran tertentu. Nak jalan kaki je? Tak digalakkan sebab kawasan ni luas dan berbukit. 

Zoo Songkhla, Thailand
Peta Zoo Songkhla (sumber : songkhla.zoothailand.org)
Setiap kenderaan akan diberi peta zoo dan jadual pertunjukan / waktu memberi makan haiwan tertentu, ada yang percuma dan ada yang perlu bayaran tambahan.

Zoo Songkhla, Thailand
Haiwan pertama yang saya nampak sebaik turun dari kereta. Entah kenapa, saya rasa kasihan pulak melihatnya. Di sini pengunjung boleh membeli makanan untuk beri badak makan.

Sedap tidur tengah hari ya singa. Masa ni pukul 12.15 tengah hari waktu Thai.

Pukul 12.30 tengah hari, pengunjung boleh menyaksikan secara percuma aktiviti memberi makan harimau. Mula-mula makanan iaitu daging diikat dan dimasukkan dalam air. Harimau ikut masuk air dan berusaha mendapatkan daging yang digerakkan ke sana sini. Pengunjung bersorak dan bertepuk tangan apabila harimau berjaya mendapatkan makanannya.

Zoo Songkhla, Thailand
Dua ekor harimau sedang berusaha mendapatkan daging yang digantung pula.

Zoo Songkhla, Thailand
Tak terus diberi, daging tersebut digerak-gerakkan. Saya mula rasa kasihan.

Zoo Songkhla, Thailand
Seekor lagi harimau memanjat tinggi untuk mendapatkan makanannya.

Saya tak menunggu lebih lama lagi. Saya kurang senang dengan suasana bunyi muzik kuat dipasang dan makanan diberi seperti mempermainkan haiwan yang sedang lapar. Saya rasa kasihan pulak pada harimau-harimau ini. Menurut saya, boleh saja beri makanan tanpa perbuatan mengacah harimau. Itu pun dah cukup buat pengunjung teruja dapat menyaksikan bagaimana harimau menikmati makanannya.

Lemur
Ring-tailed lemur.
Kami kemudiannya memandu ke kawasan yang menempatkan lemur. Jenis lemur yang ada di zoo ini berbeza dengan lemur yang saya lihat sewaktu kunjungan saya ke Taman Negara Bako, Sarawak. Comel dan sangat menarik rupa ring-tailed lemur. Halus je bunyi sesuai dengan rupanya. Di sini pengunjung juga boleh membeli makanan untuk diberi kepada lemur. Patutlah semuanya berkejaran mendekati kami (di sebalik jaring besi), mungkin menyangka kami akan beri makanan. 

Sloth
Linne’s two-toed sloth.
Teruja saya apabila tahu di Zoo Songkhla terdapat sloth, haiwan mamalia paling perlahan di dunia! Haiwan penghuni hutan hujan Amerika ini aktif pada waktu malam. Maka, kecewa jugalah kami sebab tak berpeluang menyaksikan bagaimana sloth bergerak. Nak tengok rupa paras sloth pun tak nampak, cuma nampak bahagian belakang badannya yang sedang berehat di dahan pokok.

Geng konvoi 10 orang (saya dan seorang lagi tiada dalam foto) di kawasan rusa.

Zoo Songkhla, Thailand
Di sini kita dapat menyaksikan rusa lepas bebas, bukan dalam kandang. Tapi kita dilarang berada terlalu dekat dengan rusa. Belum sempat dekat pun, kawanan rusa dah beredar memanjat lereng bukit. Tak sempat nak berfoto sama πŸ˜„

Tumbuhan yang menarik perhatian saya - ada buah dan bunganya berwarna purple lembut.

Setelah menghabiskan masa kira-kira 1jam 30 minit, kami beredar dari Zoo Songkhla. Masing-masing dah kelaparan, tak boleh berlama-lama lagi. Kalau ikutkan luas kawasan zoo dan haiwan yang nak diperhatikan, mungkin perlu beberapa jam di sini.

Secara keseluruhannya, Zoo Songkhla menarik untuk dikunjungi terutamanya jika datang bersama kanak-kanak. Boleh menambah pengetahuan berkenaan haiwan dan memupuk rasa sayang terhadap haiwan. Pun begitu, secara peribadi terselit rasa kurang seronok bila saya lihat ada haiwan yang seperti tak cukup makan dan mengharapkan pemberian makanan oleh pengunjung. Harapnya tak berlaku sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan-haiwan ini.


**********************************

ZOO SONGKHLA
189 Songkhla-Natawi Road,
Moo 5, Khao Roop Chang, Muang Songkhla,
Songkhla, Thailand.

Waktu operasi :
Setiap hari | 8.30 pagi - 4.30 petang







Tidak ada komentar :

Posting Komentar

Leave A Comment...

ad2