Trading dan Investasi
ad1
Iklan Gratis
Catatan Hujung Minggu
Jenius
Agustus 05, 2024
[Catatan hujung minggu | 2 - 4 Ogos 2024]
⏵ JUMAAT 2 OGOS 2024
Bilik air dinding kaca di Wesley Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Pada hari Sabtu saya ada janji temu dengan doktor gigi di Pulau Pinang, jadinya kami ambil keputusan untuk menginap di hotel supaya tak perlu bertolak awal pagi (sebelum subuh) dari Perlis.
Bilik air di penginapan kami berdinding kaca (rujuk foto di bawah). Leceh jugaklah setiap kali nak guna kena tarik/buka kain langsirnya. Juga ada sedikit bau kurang sedap bila kain langsir basah. Selain hal bilik air berdinding kaca dan bilik kurang kedap bunyi (dengar orang bilik sebelah berborak), saya puas hati dengan tahap kebersihan bilik penginapan kami.
⏵ SABTU 3 OGOS 2024
Janji temu rawatan susulan dengan doktor gigi
Janji temu setiap enam bulan sekali bagi memastikan gusi/gigi saya dalam keadaan baik. Buat kali pertama, bukan doktor Freeda yang memeriksa dan merawat saya, tetapi seorang doktor perempuan berbangsa Cina. Jujurnya saya rasa kurang selesa sebab sejak tahun 2022, hanya doktor Freeda yang memeriksa dan merawat saya. Saya suka cara doktor Freeda beri penerangan, juga tutur kata beliau yang lembut dan membuat saya rasa tenang.
Rawatan yang dilakukan kali ini - scaling, ukur gigi dan baiki ikatan gigi (splinting) depan bahagian atas. Kos kali ini sebanyak RM350.
Menikmati suasana kampung di Jendela Sungai Lenggong, Perak
Dari Pulau Pinang kami menuju ke Perak. Destinasi yang tak asing bagi kami, iaitu ke Kampung Danglang, Kuak, Lenggong. Ini merupakan kali ketiga kami menginap di kampung ini. Sebelum ini kami pernah bermalam di Amazing Camp Legacy, kali ini kami menginap di Jendela Sungai Lenggong pula. Walaupun rumah kami di Perlis juga dalam suasana kampung/hutan, tapi tetap ada bezanya dengan kampung di Lenggong. InsyaAllah akan ada entri khas perkongsian pengalaman kami di sini.
![]() |
| Wesley Hotel, Restoran Tasik Raban dan gerai jual durian. |
⏵ AHAD 4 OGOS 2024
Lawatan ke Galeri Lenggong Geopark
Saya tahu kewujudan galeri ini sewaktu buat carian di Google Maps - things to do - museum. Lokasinya tak begitu jauh dari Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Mulanya kami rancang nak pergi kedua-dua galeri tersebut, tapi memandangkan kami mengejar masa nak balik Perlis maka kami pilih ke galeri geopark sahaja. InsyaAllah catatan lanjut galeri berkenaan geologi ini dalam entri khas.
Menikmati hidangan tengah hari di Restoran Tasik Raban
Kami terjumpa restoran ini secara tak sengaja. Restoran Tasik Raban terletak di jalan besar iaitu di laluan Baling - Kuala Kangsar. Restoran yang luas dan sangat banyak pilihan lauk tengah hari. Setiap lauk ada tanda harga, taklah terkejut masa membayar nanti. Tempat makan di sini juga berkeadaan bersih dan selesa untuk kita menjamu selera. Waktu operasi (saya ambil info di Google Maps) - setiap hari 10.30 pagi sehingga 4.30 petang.
Beli durian D24 dan IOI
Sebelum beredar dari penginapan Jendela Sungai Lenggong pagi tadi, tuan punya penginapan ada memberi kami buah rambutan dan sebiji durian. Cukup harum aromanya di dalam kereta kami. Saya fikir cukuplah sebiji durian tu buat kami makan berdua. Tapi, eh…ada orang rasa tak cukup dan sibuk nak membeli bila ternampak gerai jual durian tak jauh dari tempat kami makan tengah hari tadi.
Menurut penjualnya - seorang lelaki muda berbangsa Melayu, semua durian yang dijual merupakan durian tempatan. Encik Suami beli durian IOI dengan harga RM35/kg dan durian D24 dengan harga RM20/kg.
Selesai urusan membeli durian, kami terus bergerak balik ke Perlis melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Sebelum sampai rumah tu pula ada beberapa tempat lagi kami singgah - antaranya, pos bungkusan (return defect item) dan gunting rambut Encik Suami di Napoh, Kedah. Alhamdulillah jumpa jugak kedai yang bagus kemas hasil kerjanya dan harganya cuma RM10.
Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah sebelum pukul 7 malam.

Tidak ada komentar :
Posting Komentar
Leave A Comment...